Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Kawan sendiri melayang


ALOR GAJAH: “Saya perasan ada percikan api disusuli objek melayang melintasi tengah tiang lampu isyarat. Selepas rakan memberhentikan kereta yang kami naiki dan memeriksa di kawasan kejadian, saya tersentak apabila melihat rakan saya terbaring kaku di atas jalan.”
Demikian kata Islami Hisham, 18, saksi kemalangan ngeri mengorbankan nyawa Mohd Izuan Johari, 24, di simpang lampu isyarat Sungai Petai, Lebuh Ayer Keroh-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini, jam 6 pagi semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah bandar raya Melaka dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Melaka Pindah, di sini.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan menyebabkan mangsa motosikalnya melambung.

Motosikal mangsa rosak teruk akibat merempuh tiang lampu isyarat sebelum tercampak di seberang jalan manakala kepala mangsa dikatakan terhentak pada lampu isyarat berkenaan.

Islami berkata, ketika kejadian berlaku dia dan dua rakan lain menaiki kereta menuju ke Paya Datuk. “Saya duduk di sebelah pemandu. Selepas melihat percikan api dan lintasan objek terbang itu, saya meminta rakan memberhentikan kereta kerana mahu melihat apa sebenarnya berlaku.
“Sejurus mendapati rakan saya terbaring di atas jalan dan mengalami kecederaan parah, saya tidak berani menyentuh badannya tapi cuma mengalihkan motosikalnya yang tercampak di tengah jalan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Islami berkata, dia menghubungi keluarga mangsa tetapi gagal, menyebabkan dia nekad ke rumahnya untuk memaklumkan kejadian.
Ibu mangsa, Zaiton Mohamad, 51, ketika ditemui di Hospital Melaka berkata, mangsa yang juga anak kedua daripada tiga beradik sebelum itu keluar dari rumah jam 12 tengah malam.

“Sewaktu rakannya datang ke rumah memaklumkan kejadian, saya bersiap ke tempat kerja,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kantin sebuah sekolah di sini.

Menurutnya, petang kelmarin, arwah sempat memotong rambut dan menjamah hidangan sebelum keluar.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma kerap mengurung diri dalam bilik. Dia memang manja selepas saya berpisah dengan suami,” katanya yang ditemani anak bongsu, Mohd Saiful Johari, 21.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan.

No comments:

Post a Comment