Search This Blog

Monday, November 5, 2012

Kawal pekerja asing di JB




NUR JAZLAN (kanan) menaiki jentera skylif untuk memotong dahan pokok ketika menyertai program Jom Cuci JB di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Bandar raya Johor Bahru memerlukan pelan penempatan pekerja asing yang komprehensif bagi menampung kebanjiran mereka berikutan pembangunan pesat yang berlaku akibat projek Iskandar Malaysia.
Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pekerja asing terbabit perlu ditempatkan di hostel khas dan diawasi rapi oleh polis dan Jabatan Imigresen.
"Jikalau kita membiarkan mereka (pekerja asing) menginap di mana-mana sahaja tanpa kawalan, ia akan menimbulkan pelbagai masalah. Jika kita tidak dapat mengesan di mana mereka berada, kita juga tidak akan tahu apa aktiviti mereka," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian selepas menghadiri program Jom Cuci JB anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru di Taman Sri Bahagia di sini.
Menurut Nur Jazlan, terdapat banyak dakwaan mengatakan warga asing di negara ini terlibat dalam kegiatan jenayah dan pembinaan hostel-hostel itu juga merupakan salah satu usaha untuk membanteras kegiatan terbabit.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil peranan untuk membina hostel-hostel pekerja asing itu dengan bayaran dikenakan terhadap syarikat-syarikat yang menggunakan kemudahannya.
Katanya, diharapkan menerusi kewujudan hostel-hostel ini pihak berkuasa dapat mengawal pergerakan pekerja asing, sekali gus membantu mengenal pasti mereka yang melakukan jenayah.
Beliau memberi contoh mengenai banyak taman perumahan lama di Johor Bahru termasuk di Taman Sri Bahagia yang dilawatinya semalam, kini didiami oleh pekerja asing menyebabkan pertembungan budaya dengan warga tempatan.
"Budaya asing yang dibawa oleh mereka (pekerja asing), mengganggu penduduk tempatan dan menjejaskan tahap kebersihan taman perumahan," katanya.
Sejak dilancarkan pada 2006, Iskandar Malaysia yang berkeluasan lebih 2,200 kilometer persegi atau tiga kali ganda saiznya berbanding Singapura telah berjaya menarik pelaburan kumulatif sebanyak RM95 bilion.
Banyak syarikat dalam dan luar negara dalam pelbagai sektor industri sedang beroperasi di Iskandar Malaysia, menggajikan ribuan pekerja asing bagi menampung kekurangan pekerja tempatan. - Bernama

No comments:

Post a Comment