C.Murali
Murali (dua kiri) dibawa keluar selepas dijatuhkan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret.
GEORGETOWN - Walaupun cuba menutup kesalahan mencuri dengan memotong wayar sistem kamera litar tertutup (CCTV), seorang kontraktor tetap ‘kantoi’ dicekup anggota polis di depan sebuah kedai nasi kandar.
Tertuduh, C.Murali sebelum itu telah pun berjaya menyembunyikan dirinya selama dua hari selepas mencuri di Lebuh Carnavon, namun hasil siasatan anggota polis kemudiannya berjaya menangkapnya di Jalan Penang.
Dia yang berusia 34 tahun itu didapati melakukan kesalahan memecah masuk sebuah rumah dan mencuri wang tunai RM300 bersama dua biji loket, dua utas rantai dan satu gelang tangan.
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas kesalahan pada 21 Oktober 2012 kira-kira jam 10.30 hingga 11.30 malam itu.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah pun memotong wayar kamera CCTV sebelum mengambil barangan bilik pengadu.
Atas kesalahan itu, Murali didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah boleh dihukum penjara sampai lima tahun dan denda atas kesalahan pecah rumah.
Sementara penjara sehingga 14 tahun pula akan dikenakan bagi kesalahan pecah rumah serta mencuri.
Tertuduh juga boleh dikenakan hukuman denda atau sebat sekiranya ia adalah kes berulang buat kali kedua dan ketiga.
Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh dari Jalan Kebun Bunga itu juga didapati melakukan kesalahan pada 23 Oktober 2012 kira-kira jam 2 pagi apabila didapati gagal mengemukakan kad pengenalan dirinya kepada pihak berkuatkuasa.
Ia sekaligus bertentangan dengan peraturan 6 Pendaftaran Negara 1990, dan dengan itu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah peraturan 25 (1) (a) peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000.
Setelah mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan, Murali merayu supaya hukuman diringankan kerana mempunyai sakit HIV dan juga batuk kering.
Majistret, Siti Salwa Ja’far kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap tertuduh dan denda sebanyak RM10,000.
“Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan,” katanya.