DUNGUN – Niat dua sahabat untuk pulang ke kampung selepas berkunjung ke sebuah bandar berdekatan bertukar detik hitam, apabila masing-masing ditahan selepas disyaki memiliki dadah.

Dua lelaki terbabit ditahan pihak berkuasa di satu sekatan jalan di Stesen Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Melihat keadaan mencurigakan dua lelaki berusia 27 dan 42 itu, pihak polis yang mengadakan operasi bersama JPJ dan beberapa agensi lain bertindak menahan sebelum memeriksa kenderaan dinaiki suspek.

Hasilnya, satu botol berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin ditemui dalam beg yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan, selain beberapa pil kemerahan disyaki dadah jenis methampethamine dalam laci kecil berdekatan kotak gear kenderaan dinaiki mereka.

Kedua-dua lelaki berkenaan, masing-masing berasal dari Tanah Merah dan Pasir Mas, Kelantan ditahan kerana disyaki memiliki dadah di bawah kawalannya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk diambil keterangan.
Kenderaan Proton Wira Aeroback gelap dinaiki suspek juga turut disita untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan dua suspek berasal dari Kelantan itu terpaksa ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Turut disita dalam operasi bersepadu bermula jam 3 petang diketuai pihak JPJ itu termasuk sebuah lori.

Hasil pemeriksaan ke atas lebih 100 kenderaan, 24 saman dikeluarkan meliputi pelbagai kesalahan trafik termasuk cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.
Operasi tamat jam 12 malam.