Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Kaki putar RM2.4 juta


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang hanya bersekolah setakat darjah enam mampu bergelar jutawan dalam tempoh singkat selepas memperdaya seorang peniaga berusia 30-an sebanyak RM2.4 juta.
Taktik digunakannya ialah menyamar sebagai ‘bomoh ekor’ dengan menyediakan nombor ramalan bagi memenangi hadiah utama, selain bijak memanipulasi urusan perbankan melalui Internet.

Menurut sumber, lelaki berusia 40 tahun itu mempromosi perkhidmatannya menerusi iklan yang diedar atau ditampal di tempat tumpuan awam di kawasan tempat tinggal mangsa, beberapa bulan lalu.
Mangsa yang tertarik dengan iklan berkenaan kemudian menghubungi suspek sebelum diminta memberi butiran peribadi berserta nombor telefon.

“Suspek kemudian menghubungi semula mangsa dan mengarahkannya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun, dengan janji nombor ramalan yang akan diberinya mampu menjadikan mangsa kaya raya.

“Selepas mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan, dia masih tidak diberikan nombor ramalan dijanjikan. “Namun, lelaki itu licik memujuk dan meyakinkan mangsa sehingga membuat sembilan lagi transaksi membabitkan jumlah keseluruhan RM2.4 juta ke dalam beberapa akaun berbeza,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari tertipu bulan lalu sebelum membuat laporan polis dan bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, berjaya menahan suspek di Alor Setar, Kedah Sabtu lalu.

Sumber itu berkata, ketika disoal siasat suspek memberitahu dia hanya bersekolah setakat darjah enam namun mengaku mempunyai kemahiran dalam sistem perbankan Internet.
“Bagi mengelakkan penipuannya dikesan polis, suspek yang mempunyai enam akaun bank akan segera memindahkan wang yang diterima daripada mangsa ke dalam akaun lain bertujuan menghapuskan bukti,” katanya.

Menurutnya, polis juga berjaya menemui semula wang RM2.4 juta yang disimpan secara berasingan dalam akaun milik suspek.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek terbabit dalam enam kes penipuan menggunakan modus operandi sama sejak awal tahun lalu,” katanya.

Sumber itu berkata, semua mangsa mendakwa mereka seolah-olah dipukau sehingga tidak sedar ditipu biarpun hanya berurusan melalui telefon.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Dua JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusuf mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment