Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias
PUCHONG – Baru sebulan kejadian kecurian kabel dilaporkan di Taman Mawar Kinrara Seksyen 5 sehingga menyebabkan kerugian lebih RM55,000 kepada Telekom Malaysia (TM), Khamis lalu sekali lagi insiden itu berulang.

Kali ini, hampir 400 pengguna terputus hubungan selama empat hari apabila kabel tembaga yang menyambungkan talian telefon tetap mereka dicuri awal pagi hari terbabit.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 2 hingga 5 pagi ketika penghuni perumahan berkenaan nyenyak tidur di kediaman masing-masing.

Difahamkan, kabel utama di saluran bawah tanah bernilai hampir RM30,000 dipotong pihak tidak bertanggungjawab dari sebuah lubang pembetung di jalan utama berdekatan Taman Bukit Kuchai di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terhadap kejadian jenayah terbabit.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya ada melakukan pemeriksaan di kedai barang lusuh bersama agensi yang terbabit untuk mengenal pasti dalang yang melakukan kegiatan curi kabel di sekitar kawasan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, tiada sebarang tangkapan berhubung kes berkenaan sehingga kini namun percaya ia dilakukan mereka yang mempunyai kepakaran berhubung perkara itu.

Justeru, beliau berharap mendapat kerjasama agensi utiliti untuk melaporkan kepada polis mengenai kerja dilakukan kontraktor dilantik supaya pemantauan serta pencegahan dapat dilakukan.

“Kami tidak menuduh siapa yang melakukan jenayah ini namun percaya hanya mereka yang ada kepakaran melakukannya.

“Disebabkan itu, saya mewajibkan pihak berkenaan maklumkan kepada kami jika kontraktor mereka hendak membuat apa-apa kerja terutama membabitkan kabel di bawah tanah supaya kita boleh buat pemeriksaan,” katanya.

Sementara itu, awal Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, lebih 800 penduduk Taman Mawar Kinrara Seksyen 5, dekat sini terputus hubungan apabila kabel tembaga yang menyambungkan talian telefon tetap mereka dicuri.
Difahamkan, kabel utama sepanjang 1,200 meter terletak di saluran bawah tanah bernilai hampir RM55,000 dipotong pihak tidak bertanggungjawab dari sebuah lubang pembetung di jalan utama Taman Mawar dekat sini