Search This Blog

Monday, November 26, 2012

Jual nama VIP kaut RM6 juta

KUALA LUMPUR: Mengakui mendapat restu dan naungan orang kenamaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai projek diusahakannya, seorang lelaki dikatakan memperdaya orang ramai untuk menjadi rakan kongsi serta pelabur menyebabkan mangsa kerugian lebih RM6 juta.
Untuk meyakinkan mangsanya, lelaki itu turut menjanjikan pulangan harian dan mingguan kepada mangsa berjumlah RM2,000 hingga RM10,000 dengan menunjukkan dokumen yang didakwanya ditandatangani pemimpin nombor satu negara sebagai bukti perniagaannya itu sejak 2010.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Rahayu, 50, berkata suspek turut ‘menjual’ profil satu yayasan berserta gambar VIP dan pakar motivasi terkenal untuk projek berskala besar yang konon diusahakannya di pantai timur.

Rahayu, berkata dia dan suami diperkenalkan kepada lelaki itu menerusi seorang rakan dan membuat pelaburan RM170,000 pertengahan Oktober lalu selepas dijanjikan pulangan sehingga RM300,000 dalam masa lima bulan.

“Dua minggu selepas itu, saya menerima lapan cek bernilai RM80,000 yang didakwa sebagai keuntungan projek, namun hampa selepas mendapati ia cek tendang menyebabkan saya mula meragui kesahihan perniagaan lelaki itu,” katanya.

Menurut Rahayu, sebelum ini dia terpengaruh dan yakin dengan segala kata-kata suspek selepas melihat gambar kerja amal yayasan itu yang mempunyai helikopter sendiri dan semua urusan perniagaan dilakukan di hotel terkemuka.


“Apa yang menyedihkan, semua wang yang saya serahkan kepadanya itu adalah simpanan untuk melangsungkan perkahwinan anak saya akhir bulan ini,” katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, di sini semalam.

Rahayu berkata, mereka suami isteri berulang kali menghubungi lelaki itu meminta wangnya dikembalikan dan lelaki itu bersetuju membiayai kos perkahwinan anaknya di sebuah kelab sebagai ganti kelewatan bayaran dijanjikan.

Sebagai bukti, dia menghantar sepucuk surat jaminan kepada pengurusan kelab terbabit memaklumkan akan membayar segala perbelanjaan perkahwinan itu namun hingga kini tiada satu sen pun dibayar.

“Kini kami tertekan kerana pengurusan kelab meminta wang pendahuluan untuk majlis kahwin. Dengan pendedahan ini, saya harap orang lain tidak jadi mangsa,” katanya.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Azwan, 37, berkata, dia kerugian RM60,000 selepas menyertai ‘perniagaan’ itu akhir tahun lalu.

Selepas diberikan cek tendang beberapa kali, dia yang membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk menyertai yayasan itu mula menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Pudu.

“Pada awal pembabitan, saya dijanjikan pulangan mingguan RM5,000, tapi hanya menerima cek tendang bernilai RM10,000 selepas enam minggu kemudian,” katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa pelaburan perniagaan yang tidak wujud itu.

“Berdasarkan aduan kepada PPIM, setakat ini lebih 20 orang sudah menjadi mangsa dengan jumlah lebih RM6 juta. Justeru, saya minta mereka yang mempunyai maklumat untuk tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment