Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Jual arak curi guna lori sampah

Jual arak curi guna lori sampahAdnan (kanan) dan pegawainya bersama minuman keras yang ditemui semula.
SHAH ALAM - Sekumpulan penjenayah menggunakan sebuah lori sampah bagi mengangkut ratusan tin minuman keras curi untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.
Bagi mengaburi mata polis, penjenayah juga menggunakan kanvas untuk menutup bahagian atas lori.

Bagaimanapun, penjenayah hanya sempat menjual sebahagian minuman curi itu selepas polis menahan enam lelaki, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, tangkapan itu dilakukan berdasarkan laporan kejadian samun di sebuah stor di Pulau Indah, 1 November lalu.

Mohd Adnan berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu, pengawal keselamatan berusia 44 tahun dipukul dan diikat empat lelaki bersenjatakan buku lima serta rotan.

Katanya, penjenayah melarikan dua kontena bermuatan minuman keras tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, polis menahan tiga lelaki di Jalan Kim Chuan, Pandamaran, Selasa lalu, kira-kira jam 1.30 petang.

“Kita merampas sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan sebuah lori tiga tan mengandungi 400 kotak minuman keras,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Beliau berkata, polis kemudiannya menyerbu sebuah premis besi buruk di Jalan Ipoh Kecil dan menahan dua lelaki serta menemui 182 kotak minuman keras di dalam lori sampah.

Katanya, seorang lagi rakan mereka ditahan di Jalan Gedung Raja Abdullah, Klang, kelmarin.

“Dua kontena yang dilarikan itu tidak ditemui. Kita juga sedang menyiasat jumlah minuman yang sudah dijual suspek,” katanya.

Semua suspek berumur antara 25 dan 33 tahun itu ditahan reman sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Mohd Adnan berkata, polis sedang mencari tiga lelaki, K Maran, 42, beralamat terakhir di Taman Mastiara, Kuala Lumpur; T Rajendran, 42, beralamat terakhir di Apartmen Dahlia, Rawang dan A Siva Kumar Samey @ Aun, beralamat terakhir di Taman Desa Jasmin, Nilai, Negeri Sembilan, untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dengan tiga lelaki itu diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment