Isteri enggan bayar denda
Ahmad Fadzil dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU  – Seorang buruh hanya mampu menitiskan air mata sejurus dimaklumkan isterinya enggan menjelaskan denda RM3,000 yang dikenakan terhadapnya.

Ahmad Fadzil Zaim, 29, beralamat di Taman Medan Jaya 3, Rusila, Marang, dijatuhi hukuman itu atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Majistret Rozianti
Mohamed Hanaphi selepas mengaku salah melupuskan sebuah telefon bimbit yang dicurinya di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Gong Datuk, Gong Badak, dengan mencuri telefon bimbit milik Che Wan Azami Che Wan Nordin, 30, pada 8 Oktober
lalu, kira-kira jam 5 petang.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada 9 Oktober lalu, kira-kira jam 8.41 malam, mangsa yang juga tenaga pengajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan, terima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan rumah mereka di depan Sekolah Rendah Gong Badak, dipecah masuk.

Mangsa yang ketika itu berada di tempat kerjanya bergegas pulang dan mendapati beberapa barangan hilang.