Search This Blog

Thursday, November 8, 2012

Helah Mat Iran



BAYAN LEPAS: “Tabur, kutip dan curi.” Itu taktik tiga lelaki warga asing yang menggunakan helah menabur wang tunai sebelum mencuri wang milik mangsa terutama mereka yang baru mengeluarkan wang tunai dari bank.

Dalam kejadian jam 2.15 petang kelmarin di Jalan Pantai Jerejak di depan sebuah bank dekat sini, seorang penyelia sebuah kilang kerugian RM40,000 apabila beg mengandungi wang itu dilarikan tiga lelaki berkenaan.


Sebelum itu, tiga lelaki warga asing dipercayai dari Iran itu menabur beberapa kepingan wang tunai bernilai RM5 dan RM10 di jalan raya sebelum memberitahu mangsa wang milik mangsa tercicir.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, percaya dengan kata-kata lelaki warga asing itu, mangsa berusia 28 tahun itu mengutip wang yang terjatuh di jalan sebelum suspek bersama dua lagi rakan yang menunggu di sebuah kereta melarikan beg mengandungi wang tunai berkenaan.


“Sebelum itu, mangsa yang menaiki motosikal bersendirian keluar dari sebuah bank sebelum didatangi seorang lelaki warga asing yang menunggu di parkir motosikal.


“Selepas diberitahu wang milik mangsa terjatuh, beg mengandungi wang tunai untuk pembayaran gaji pekerja sebuah kilang itu diletakkan dalam raga motosikal sebelum mangsa pergi mengambil wang yang terjatuh itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, ketika mangsa mengambil wang terjatuh itu, lelaki warga asing terbabit melarikan beg mengandungi wang tunai dengan dua rakannya sedia menunggu dalam sebuah kereta sebelum melarikan diri.


Mohd Hatta berkata, mangsa hanya menyedari kehilangan beg berkenaan selepas menaiki motosikal di Jalan Sultan Ahmad Shah.

Menurutnya, mangsa yang terkejut kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan hasil siasatan termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya mengesan tiga lelaki warga asing iaitu suspek menunggu mangsa yang baru keluar dari bank sebagai sasaran.


Beliau berkata, mereka menaburkan beberapa keping wang tunai di tepi motosikal atau kenderaan kononnya prihatin apabila terserempak dengan mana-mana mangsa yang tercicir wang lalu cuba membantu sebaliknya melarikan barangan milik mangsa tanpa disedari.


Katanya, polis percaya kejadian itu didalangi lelaki warga asing yang menjadikan bank sebagai lokasi sasaran dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk mengenalpasti identiti suspek termasuk mendapatkan keterangan daripada mangsa.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” katanya.

No comments:

Post a Comment