Search This Blog

Monday, November 26, 2012

Hari jadi berdarah

GEORGETOWN: Hari jadi berdarah. Itu yang dilalui seorang lelaki apabila ditikam dan ditetak sekumpulan 10 lelaki yang menyerangnya ketika mangsa menyambut hari lahir ke-24 di rumahnya, di sebuah flat, di Farlim, malam kelmarin.
Lebih menyedihkan, mangsa yang dikenali sebagai Vikinesraj ditetak dan ditikam di depan teman wanitanya sebelum kumpulan lelaki terbabit melarikan diri, jam 9.30 malam.

Dalam kejadian itu, mangsa ditikam di perut serta tangannya ditetak kumpulan lelaki terbabit dan dia kini bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan teruk.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika mangsa turun ke tingkat bawah rumah untuk menjemput teman wanitanya yang datang kerana mahu bersama-sama menyambut majlis hari lahir lelaki itu.

“Bagaimanapun, ketika itu kumpulan lelaki terbabit sudah menunggu mangsa dan sejurus melihat kelibatnya, mereka menyerang dan mengamuk dengan menetak mangsa.

“Mangsa tidak berdaya melawan dan rebah. Kejadian itu dilihat teman wanitanya sebelum dia serta beberapa rakan menghubungi ambulans,” katanya.


Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit yang melihat mangsa rebah beredar menaiki lima motosikal dan mangsa kini masih dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu berlaku disebabkan angkara dendam antara mangsa dan kumpulan lelaki terbabit,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Menurutnya, setakat ini, polis sudah menahan seorang lelaki berusia 20-an dan merampas beberapa senjata tajam yang ditemui bersamanya.

No comments:

Post a Comment