Search This Blog

Friday, November 23, 2012

Ganja bawah tilam, heroin atas siling



 
Kuantan: Seorang ibu beranak 12 ditahan selepas sejumlah ganja dan heroin ditemui di rumahnya dalam serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, di Taman Pandan Damai, di sini, Selasa lalu.

Wanita berusia 39 tahun itu ditahan susulan penahanan seorang lelaki berusia 41 tahun yang juga rakan suaminya di tepi jalan di Sungai Isap, di sini, pada jam 2.40 petang pada hari sama.
Ketika ditahan, wanita yang mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan dadah itu tinggal bersama enam anaknya berusia empat hingga 15 tahun, manakala enam lagi anak serta suaminya tiada di rumah.

Ketua JSJN Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan, berkata pemeriksaan pada suspek pertama menemui sejumlah dadah jenis ganja dalam genggaman lelaki itu sebelum soal siasat dilakukan membawa polis ke sebuah rumah di taman perumahan berkenaan.

Polis kemudian menahan wanita terbabit sebelum pemeriksaan di tingkat atas rumah menemui satu sampul surat berwarna coklat mengandungi daun kering disyaki ganja diletakkan di bawah tilam dalam sebuah bilik, katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Toon Khuan berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis turut menemui dua lagi sampul surat mengandungi heroin disembunyikan di atas siling tingkat bawah berdekatan tangga rumah itu.

Nilai rampasan keseluruhan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM103,250 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya. Beliau berkata, suspek terbabit direman selama seminggu sehingga 27 November ini dan siasatan awal mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran.

No comments:

Post a Comment