Search This Blog

Monday, November 26, 2012

Empat suspek ditahan

KLANG: Polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui di tepi gelongsor padang permainan kanak-kanak di Taman Sentosa, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, semua suspek berusia 25 hingga 35 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Klang, malam kelmarin.


“Suspek ditahan di sekitar kawasan Taman Sentosa dan Bukit Tinggi iaitu dua daripada suspek ditahan di rumah masing-masing, manakala dua lagi ditahan ketika sedang berlegar-legar di kawasan berkenaan.

“Semua lelaki terbabit ditahan sekitar jam 10 malam kelmarin hingga jam 1 pagi dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.


Katanya, sebahagian daripada suspek ialah rakan mangsa dan direman bermula semalam sehingga 1 Disember bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.


Metro Ahad semalam melaporkan mangsa, T Sivanesan, 32, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian punggung selain kesan cedera di belakang kepala akibat dipukul dengan objek tumpul.

Menurut isteri mangsa, Logeswari, 20-an, suaminya keluar untuk minum bersama empat rakannya kira-kira jam 2 pagi di sebuah restoran berhampiran padang permainan kanak-kanak itu.


Sebelum kejadian jam 3 pagi itu, mangsa dipercayai bergaduh di restoran dan melarikan diri ke padang permainan kanak-kanak sebelum dipukul serta dan ditikam dengan objek tajam di tepi papan gelongsor sehingga mati.

No comments:

Post a Comment