KLANG - Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui di padang permainan kanak-kanak di Taman Sentosa, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, kesemua lelaki yang berusia 25 hingga 35 tahun itu ditahan sekitar kawasan Klang, malam kelmarin.

“Kesemua lelaki itu ditahan di sekitar kawasan Taman Sentosa dan Bukit Tinggi. Dua daripada mereka ditahan di rumah, manakala dua lagi ditahan ketika sedang berlegar-legar di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan, kesemua mereka ditahan reman sehingga 1 Disember depan untuk siasatan lanjut.
Mangsa, T Sivanesan, 32, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian punggung selain kesan cedera di belakang kepala akibat dipukul dengan objek tumpul.
Mangsa keluar untuk minum bersama empat rakannya kira-kira jam 2 pagi di sebuah restoran berhampiran padang permainan kanak-kanak itu.
Sebelum kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa dipercayai bergaduh di restoran dan melarikan diri ke padang permainan kanak-kanak sebelum dipukul dan ditikam dengan objek tajam di tepi papan gelungsur sehingga mati.