Search This Blog

Thursday, November 1, 2012

Eksekutif jatuh di kafe Domino's Pizza dapat RM25,000

KUALA LUMPUR - Seorang eksekutif yang mengalami kecederaan akibat terjatuh di kafe Domino's Pizza hari ini memperoleh ganti rugi berjumlah RM25,000 daripada syarikat pengurusan kafe terbabit.
 
Syarikat Grand Synergy Sdn Bhd dan Dommal Management Sdn Bhd bersetuju membayar jumlah itu kepada Zalina Ali, 44, dan direkod sebagai persetujuan tanpa pengakuan liabiliti.
 
Peguam Adnan Seman yang mewakili Zalina memberitahu pemberita bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Unaizah Mohd telah merekodkan penghakiman persetujuan itu dan jumlah RM25,000 adalah sebagai ganti rugi serta kos.
 
Pada 1 Jun lalu, Zalina memfailkan saman berjumlah RM1.5 juta dengan mendakwa pihak defendan yang bertanggungjawab menguruskan cawangan Domino's Pizza di The Weld 76, Jalan Raja Chulan, tidak meletakkan sebarang tanda untuk membezakan permukaan lantai yang tidak rata hingga menyebabkan beliau terjatuh dan lengan kanannya mengalami keretakan.
 
Syarikat Grand Synergy Sdn Bhd dan Dommal Management Sdn Bhd pula dalam pernyataan pembelaan pada 27 Ogos lalu berkata kemalangan yang menimpa Zalina disebabkan kecuaiannya sendiri yang bersikap melulu. - Bernama

No comments:

Post a Comment