Edar dadah: Pemuda berdepan tali gantung
Tertuduh berdepan dua tuduhan termasuk mengedar dadah.
KOTA BHARU – Seorang pemuda berusia 23 tahun berdepan hukuman mati mandatori selepas dituduh mengedar 59 gram dadah jenis metamphetamine, bulan lalu.
Dakwaan terhadap pemuda yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.
Mohd Fareez Rohasim yang beralamat di Desa Darul Naim, Pasir Tumbuh di sini, didakwa mengedar dadah berkenaan di rumahnya, pada jam 8 pagi, 28 Oktober.
Dia ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
Tertuduh yang lengkap berpakaian lokap ungu semalam dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pada prosiding semalam, tiada sebarang pengakuan direkodkan. Sementara itu, dalam perkembangan sama, tertuduh tidak mengaku dituduh menagih dadah jenis sama. Kes bersambung 31 Disember depan.