Dijel ceroboh rumah dalam pembinaan
Ahmad Mahfaz dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret, semalam selepas mengaku bersalah menceroboh masuk sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan.
KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret semalam menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap seorang buruh selepas mengaku bersalah menceroboh sebuah rumah dalam pembinaan dipercayai untuk mencuri barang pembinaan.

Tertuduh, Ahmad Mahfaz Malek@ Maaroff, 30, dari Jalan Sekolah Pusat, Kuala Ibai, di sini, mengaku salah menceroboh masuk sebuah rumah yang dalam pembinaan dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang tanpa kebenaran pemiliknya Mohd Azmi Mohamad Daham, 43.

Dia yang sudah berkahwin itu mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh di Taman Chendering Utama, di sini, kira-kira jam 12.01 tengah malam, 19 November lalu.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ketika itu berada di rumahnya di Jalan Kamaruddin, di sini, menerima panggilan daripada jirannya yang tinggal di Taman Chendering Utama, di sini, memaklumkan rumahnya yang sedang dalam pembinaan dimasuki seorang lelaki tidak dikenali.

Sejurus kemudian, mangsa melihat Ahmad Mahfaz berada di dalam rumahnya disyaki cuba untuk mencuri barang pembinaan yang ada di dalam rumahnya sebelum menahan Ahmad Mahfaz dan dibawa ke Balai Polis Chendering, di sini, untuk tindakan lanjut.