Didakwa ambil RM5.7j
Nazri (kiri) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menawarkan pelaburan untuk projek ternakan cacing di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.
KUANTAN – Seorang bekas ahli perniagaan diperintah membayar ikat jamin RM5,000 selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menawarkan pelaburan untuk projek ternakan cacing di Mahkamah Sesyen, semalam.

Nazri Mamat didakwa kerana tidak mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi tujuan itu dan dikatakan mengambil deposit bernilai RM5.7 juta membabitkan lebih 1,000 pelabur.

Berdasarkan fakta pertuduhan, lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Syarikat Restu Rimbunan Rahmat Sdn Bhd, Jalan Lapangan Terbang, Kampung Pandan 1, Kuantan di antara 8 Mei 2008 hingga 22 April 2009.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 91(1) Akta Syarikat dengan menawarkan kepada orang awam untuk membeli kepentingan iaitu skim pajakan cacing, walhal tiada surat ikatan diluluskan ketika tawaran dibuat dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94(1)(a) akta sama.

Sebelum itu, dia ditawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 daripada Pendakwaraya, Lidia Firulliza Ishak.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Azhar Othman memerintahkan ikat jamin  RM5,000 dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selepas mendengar rayuan Nazri.

Nazri yang hadir seorang diri di mahkamah merayu mengurangkan ikat jamin kerana dia tidak bekerja ketika ini dan perlu menyara lima anak masih bersekolah serta ibu lumpuh.

Nazri membayar ikat jamin tersebut dan mahkamah menetapkan 10 Disember sebagai tarikh perbicaraan.