Dakwa ditipu syarikat komputer
Asmah menunjukkan resit deposit wang, surat penerimaan tempahan dan SMS dihantar wakil syarikat terbabit.
ROMPIN – Hasrat suami isteri membeli komputer untuk kegunaan anak yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun depan tidak kesampaian apabila mereka nyaris ditipu sebuah syarikat pengeluar komputer berjenama di ibu negara.

Wanita hanya mahu dikenali sebagai Asmah (bukan nama sebenar) itu berkata, dia tertarik dengan harga ditawarkan syarikat pengeluar komputer terbabit menerusi iklan disiarkan dalam sebuah
akhbar tempatan (bukan Sinar Harian).

Menurutnya, sehingga kini komputer berjenama berharga RM1,200 termasuk kos penghantaran itu masih tidak sampai kepada pembeli, sedangkan mengikut perjanjian sepatutnya ia dihantar selewat-lewatnya Mei lalu.

“Saya bayar deposit RM400 pada 16 Februari dan memasukkan RM800 lagi pada 29 Jun lalu apabila pihak terbabit meminta baki wang tersebut. Kononnya mereka akan hantar komputer itu dalam tempoh dijanjikan,” katanya.

Asmah berkata, dia juga hairan apabila resit bayaran deposit dan surat penerimaan tempahan dihantar kepadanya tidak mengandungi nombor telefon pejabat syarikat terbabit.

Menurutnya, syarikat terbabit hanya mempunyai alamat pejabat menyebabkan dia terpaksa menghubungi nombor seorang lelaki atau seorang wanita seperti tertera dalam surat penerimaan tempahan diterimanya.

"Dua individu itu sering gagal dihubungi. Saya hanya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 1 Oktober lalu menyatakan komputer itu tidak dapat dihantar kerana terdapat masalah pada perisian.

“Saya cuba hubungi mereka, tapi tidak berjawab. Saya terpaksa buat laporan di Balai Polis Bukit Ibam, petang kelmarin, untuk tindakan susulan.

Dia berkata, syarikat terbabit memohon tempoh sehingga 30 November ini untuk mengembalikan wang tersebut, namun dia meminta wang tersebut dimasukkan segera ke dalam akaun bank.

Sementara itu, jurucakap syarikat terbabit ketika dihubungi berkata, ada beberapa masalah menyebabkan komputer itu tidak sampai kepada pembeli, namun pihaknya bersetuju untuk memulangkan semula wang sebelum jam 3 petang semalam.

“Kami memasukkan semua wang berjumlah RM1,200 ke dalam akaun pengadu dan memohon maaf atas kesilapan tersebut,” katanya.