Search This Blog

Thursday, November 1, 2012

Dadah: Dua peniaga dihukum penjara sembilan tahun, 22 sebatan

SHAH ALAM - Dua peniaga Pasar Chow Kit masing-masing dihukum penjara sembilan tahun dan 22 sebatan selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan memiliki dadah pada Mei tahun lepas.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memerintahkan Muhd Nasaruddin Ahmad, 43, dan Manhalizam Othman, 37, menjalani hukuman penjara mulai tarikh mereka ditangkap iaitu pada 20 Mei 2011.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit Rumah Pangsa Beringin, Taman Tun Perak Rawang pada 10 malam, 20 Mei tahun lepas.
Pada asalnya, Muhd Nasaruddin dan Manhalizam berdepan satu pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 6 akta sama kepada kedua-dua tertuduh bagi kesalahan itu.
Muhd Nasaruddin dan Manhalizam tidak diwakili peguam.- Bernama

No comments:

Post a Comment