Search This Blog

Monday, November 5, 2012

Cucu saksi nenek dibunuh




ORANG ramai berkumpul di rumah tempat Sadariah ditemui mati akibat dibunuh dua penyamun yang memecah masuk rumahnya di Sabak Bernam semalam.


SABAK BERNAM – Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui pengalaman paling sukar dalam hidupnya apabila menyaksikan bagaimana neneknya dibunuh oleh dua penyamun yang memecah masuk rumah kedai warga emas itu di Jalan Parit 6 Timur, Sungai Besar di sini semalam.
Mohd. Hafizul Azuan Mohd. Aznan, 17, masih tidak dapat melupakan tragedi yang meragut nyawa Sadariah Tohbasar@Ahmad, 65, walaupun perompak hanya memasuki rumah mereka selama 10 minit sebelum melarikan diri bersama bekas berisi barang kemas dan wang RM500.
Mohd. Hafizul tinggal bersama keluarganya di Sungai Besar, dekat sini dan hanya menemani Sadariah pada setiap hujung minggu.
Sadariah merupakan bekas guru Jabatan Kemajuan Masyarakat dan mengusahakan perniagaan menjahit pakaian sejak kematian suaminya tujuh tahun lalu dan tinggal sendirian.
Mengimbau semula kejadian pada pukul 4.45 pagi itu, Mohd. Hafizul memberitahu, dia yang sedang tidur di ruang tamu bersama neneknya terjaga selepas merasakan tubuhnya dihempap sesuatu dan mukanya ditumbuk.
Katanya, perompak bertopeng itu kemudian mengacukan parang di lehernya dan mengarahkannya supaya diam manakala seorang lagi menumbuk muka neneknya kerana menjerit sebelum ditekup dengan bantal.
“Penjenayah kemudian mengarahkan saya masuk ke dalam bilik untuk mencari barangan berharga sebelum saya yang ketakutan menyerahkan satu bekas berisi barang kemas termasuk cincin dan gelang emas serta wang RM500.
“Selepas itu, saya dibawa keluar dari bilik dan melihat muka nenek masih ditekup. Penjenayah kemudian mengikat tangan dan kaki kami dengan tali manakala mulut nenek diikat dengan tuala good morning selain mukanya ditutup dengan selimut,” cerita pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar itu.
Tambahnya, selepas melepaskan ikatan sebaik penyamun itu melarikan diri, dia telah menghampiri Sadariah sebelum mendapati warga emas itu tidak lagi bernyawa.
Menurut Mohd. Hafizul, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada seorang jiran yang baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak Liga Sepanyol di sebuah restoran.
“Kedua-dua penjenayah itu bertubuh kurus dan tinggi serta bertopeng dan memakai sarung tangan. Perompak hanya mengeluarkan tiga patah perkataan iaitu diam, ambil barang dan bergerak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, berdasarkan kenyataan cucu mangsa, siasatan awal mendapati warga emas itu mati akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang memasak kuih dan mengukus roti untuk dijual di kedai berhampiran. Kita percaya Sadariah menjadi mangsa selepas dia menjerit manakala cucunya terselamat kerana dia diam dan tidak melawan,” ujarnya yang masih belum membuat sebarang tangkapan.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Sabak Bernam, Asisten Superintendan Masri Md. Hassan di talian 03-322 42613 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Tanjung Malim, Perak pada pukul 4 petang semalam bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment