Cebisan otak bertaburan
Mayat Mohd Nordin yang terbaring di atas jalan ditutup sebelum dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kemaman.
Cebisan otak bertaburan
Mohd Nordin.
Cebisan otak bertaburan
Suhaimi menunjukkan kecederaan yang dialaminya.
KEMAMAN – Dua lelaki maut, sementara seorang lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan melibatkan kereta, van dan motosikal di Geliga, Chukai dan Perasing Jaya, Air
Putih, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam di Kilometer 157.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berdekatan Taman Intan Geliga Besar, Mohd Nordin Mustaffa, 62, maut serta-merta di tempat kejadian setelah kepalanya pecah menyebabkan sedikit cebisan otak bertaburan atas jalan.

Sementara seorang penunggang motosikal, Suhaimi Ibrahim, 22, mengalami kecederaan.

Lebih memilukan, kemalangan itu berlaku hanya beberapa meter di hadapan rumah mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori ketika mangsa berjalan kaki mahu menyeberang jalan sebelum dirempuh sebuah Proton Wira.

Mangsa tercampak ke kiri jalan dan diseret sejauh 11 meter oleh sebuah van yang tidak sempat mengelak.

Suhaimi yang ditemui di tempat kejadian berkata, ketika nahas, dia yang dalam perjalanan dari arah Chukai ke Gebeng, Kuantan dan berada di belakang Proton Wira cuba mengelak selepas kereta terbabit membrek mengejut namun tetap terkena mangsa.

“Apabila saya cuba elak kereta, motosikal saya pula bergesel dengan sebuah van di belakang menyebabkan saya terjatuh atas jalan dan mengalami luka di tangan dan kaki,” katanya yang menetap di Bandar Seri Bandi, Kijal dan bekerja sebagai buruh.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga kira-kira jam 10 malam.

“Setakat ini pemandu van tampil membuat laporan namun pemandu kereta masih lagi belum berbuat demikian.

"Kita minta pemandu berkenaan membuat laporan. Saksi kejadian juga diharap dapat menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik menerusi talian 0199517344 untuk membantu siasatan kes,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi kemalangan, seorang buruh binaan di projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) warga Bangladesh, Masum, 35, meninggal dunia di tempat kejadian di Kilometer 175.3 Jalan Jerangau-Jabor, dekat simpang tiga Perasing Jaya.

Difahamkan mangsa menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar untuk ke kedai membeli makanan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Honda Accord ketika mahu menyeberang jalan selepas keluar dari simpang Kuari Bukit Ketam.

Che Suza berkata, kereta terbabit dinaiki tiga beranak yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dan ketika tiba di lokasi kejadian, tidak sempat mengelak kerana motosikal keluar dari simpang secara tiba-tiba.

Menurutnya, mangsa bersama motosikal tercampak atas jalan, manakala kereta terbabit nyaris masuk ke laluan bertentangan dan tiga beranak berkenaan tidak cedera.