Kes tembak polis: Buru suspek
Saiful Bahri turun padang ke Kampung Kerinting untuk bermesra dengan penduduk dan mendengar taklimat SRS.
GUA MUSANG - Polis terus memburu penjenayah yang menembak dua anggota polis hingga cedera, dalam dua kejadian membalas tembakan yang berlaku di Kampung Paloh, Gua Musang dan Kampung Kemuning, Machang seminggu lalu.

Operasi itu dilakukan dengan mengadakan sekatan jalan raya dan rondaan di kawasan di mana suspek percayai bersembunyi, dengan kerjasama anggota dari beberapa Ibu Pejabat Daerah (IPD) lain di Kelantan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, penjenayah itu tidak akan terlepas daripada buruan polis, walaupun setakat ini belum ada perkembangan terbaru mengenai penangkapan suspek terbabit.
“Anggota dari IPD Gua Musang telah diarah menjalankan gerakan mengesan penjenayah terbabit, dan kita anggap suspek amat merbahaya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Taklimat dan bermesra dengan ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Kampung Kerinting, dekat sini, semalam.

Taklimat itu disampaikan Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional (JPNIN) Daerah Kuala Krai dan Gua Musang, Wan Azami Mahmud.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof.

Sebelum kejadian balas tembakan di Kampung Kemuning, pada 30 Oktober lalu kira-kira jam 1 pagi, dua kereta mewah milik penduduk Taman Tropikal yang dicuri penjenayah terbabit termasuk sebuah BMW dan Honda Accord, ditemui di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh.

Dua kereta itu ditinggalkan penjenayah berkenaan, selepas berlaku adegan tembak menembak dengan anggota polis dari Balai Polis Paloh, sebelum menghilangkan diri ke kawasan ladang sawit di situ.

Dalam kejadian itu, seorang anggota polis  berpangkat Lans Koperal, Mohd Samsul Anuar Mohd Adnan, 27, cedera parah apabila peluru penjenayah menembusi badannya dan masih menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

Susulan kejadian itu juga seorang daripada penjenayah berkenaan ditembak mati di Kampung Kemuning, Machang selepas berbalas tembakan dengan anggota polis yang mengejarnya selepas membawa lari sebuah kereta orang awam bersama kanak-kanak lelaki berusia 17 bulan.

Bagaimanapun, dua lagi penjenayah terbabit berjaya meloloskan diri, tetapi kanak-kanak berkenaan yang sedang tidur  di dalam kereta ketika itu ditemui selamat, manakala seorang lagi anggota polis cedera terkena tembakan yang dilepaskan suspek menerima rawatan di hospital sama.

Saiful Bahri berkata, beberapa lokasi sekitar bandar ini juga diletakkan beberapa pondok polis, dengan menempatkan beberapa anggota untuk menjaga keselamatan orang awam.
Katanya, kerjasama pelbagai pihak amat dialu-alukan untuk mengawasi keselamatan kampung termasuk penubuhan SRS.

“Bagaimanapun, saya mengingatkan ahli SRS  supaya tidak bertindak sendiri jika terserempak dengan  orang yang mencurigakan, sebaliknya segera melaporkan kepada polis,” katanya