Search This Blog

Thursday, November 1, 2012

Bot karam, 130 etnik Rohingya hilang



DHAKA 31 Okt. - Hampir 130 pelarian etnik Rohingnya Islam dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka ke Malaysia, karam di perairan sempadan Bangladesh dengan Myanmar, menurut polis hari ini.
Pegawai polis Mohammad Farhad di Teknaf, tenggara negara ini berkata, seorang daripada mangsa terselamat memberitahu, bot berkenaan memuatkan 135 penumpang ketika kejadian.
"Bot itu menuju Malaysia secara haram. Mangsa yang selamat itu juga tidak tahu nasib penumpang yang lain kerana kejadian berlaku pada waktu malam," katanya sambil menambah mangsa terselamat berusia 24 tahun itu kini ditahan.
Farhad berkata, enam daripada penumpang bot tersebut sempat diselamatkan sebuah kapal nelayan selepas kesemua pelarian tersebut berlepas dari kampung Sabrang di Bangladesh, Sabtu lalu.
"Kami juga telah memaklumkan perkara ini kepada keluarga mangsa yang hilang," katanya.
Bagaimanapun, terdapat percanggahan laporan tentang mangsa yang didakwa semuanya terdiri daripada etnik Rohingya serta masa kejadian yang menurut polis berlaku awal pagi Ahad lalu.
"Kami dimaklumkan, sebuah bot yang sesak dengan 133 penumpang, karam ketika menuju Malaysia. Enam penumpang diselamatkan, sementara yang lain dilaporkan hilang," kata Pengarah Projek Arakan, Chris Lewa.
Beliau berkata, pertubuhannya dimaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku malam kelmarin atau semalam.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan hari ini, Pengawal Sempadan Bangladesh memberitahu, pihaknya telah menghantar kembali lebih 160 pelarian etnik Rohingya Islam yang cuba mendapatkan perlindungan di negara ini selepas konflik etnik dan agama di Rakhine kembali meruncing bulan ini.
Komander pasukan itu, Mohammad Khalequzzaman berkata, pelarian tersebut cuba memasuki sempadan di daerah Ukhia, yang bersempadan dengan negeri Rakhine, Myanmar. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121101/lu_04/Bot-karam-130-etnik-Rohingya-hilang#ixzz2AyMpRvNa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment