Search This Blog

Thursday, November 1, 2012

Bom Perang Dunia Kedua ditemui di Jepun



TOKYO 31 Okt. - Sebutir bom ketika era Perang Dunia Kedua yang ditemui di Lapangan Terbang Sendai kelmarin, hari ini ditanam di bawah dinding konkrit dan timbunan guni pasir bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Bom seberat 225 kilogram yang dipercayai digugurkan oleh pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) itu ditemui oleh seorang pekerja penyelenggaraan sistem penyaliran berhampiran landasan di lapangan terbang berkenaan.
Sehubungan itu, unit pelupusan bom mengarahkan supaya dinding konkrit setinggi tiga meter dibina berserta lapisan guni pasir bagi melindungi bom tersebut.
Selain itu, kira-kira 300 guni pasir yang setiap satunya seberat satu tan, turut disusun setinggi enam meter di atas dinding konkrit terbabit.
Seorang pegawai Kementerian Pengangkutan berkata, bom sepanjang 110 sentimeter itu bakal dilupus dan dipindahkan oleh pasukan tentera sebaik-baik maklumat lengkap dikeluarkan.
"Kami perlu meneliti pelbagai perkara termasuk keselamatan penduduk sekitar sebelum melupuskan bom tersebut," katanya.
Media tempatan melaporkan, bom yang dipercayai dihanyutkan ketika tsunami tahun lalu itu, berkemungkinan tidak akan meletup melainkan terdapat tekanan kuat.
Lapangan Terbang Sendai meneruskan operasi selepas membatalkan 92 penerbangan domestik dan antarabangsa, semalam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121101/lu_05/Bom-Perang-Dunia-Kedua-ditemui-di-Jepun#ixzz2AyN60wL8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment