Bayi ditemui depan rumah
JPAM memberi rawatan awal kepada bayi yang ditemui di hadapan sebuah rumah di Jalan Teratai, Raja Uda, Butterworth, pagi kelmarin.
Butterworth - Seorang bayi lelaki yang sihat dan cukup sifat ditemui ditinggalkan di hadapan rumah pasangan suami isteri berketurunan Cina, di Jalan Teratai, Raja Uda di sini, awal pagi kelmarin.

Bayi lelaki itu ditemui pembantu rumah pasangan keluarga berkenaan sewaktu dia keluar untuk menyapu sampah di halaman rumah pada jam 5.30 pagi.

Terkejut dengan penemuan itu, dia kemudian memaklumkan majikannya yang kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) cawangan Butterworth dan polis.

Dipercayai, bayi berkulit cerah itu baru dilahirkan antara tiga dan empat jam sebelum ditemui berdasarkan kesan tali pusatnya yang masih baru dan berdarah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 6.30 pagi sebelum menghantar anggota ke tempat kejadian.

Beliau berkata, ketika ditemui bayi itu dibalut dengan kain pelikat serta tidak menangis dan dalam keadaan sihat.

“Bayi itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan usaha mencari individu yang membuang bayi itu giat dijalankan,” katanya.