Search This Blog

Monday, November 5, 2012

Banjir di Tehel, 19 keluarga pindah




SITI ROHANI Roslan yang sarat mengandung dan suaminya, Ibrahim Md. Top berehat di penempatan sementara banjir di Sekolah Kebangsaan Tehel, Melaka semalam.


MELAKA – Hujan lebat selama tiga hari berturut-turut menyebabkan 91 mangsa daripada 19 keluarga di Tehel di sini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir selepas rumah mereka dinaiki air hampir satu meter malam kelmarin.
Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Jafri Mohamed berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel dan mereka dibekalkan pelbagai barangan keperluan seperti selimut, kain, makanan ringan, tikar, minuman dan sebagainya.
“Mereka mula dipindahkan pada pukul 8 malam ekoran hujan lebat lebih tiga jam sehingga menyebabkan air Sungai Kesang melimpah ke dalam rumah mangsa.
“Setakat ini, tidak ada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan menimpa mangsa banjir di Tehel dan mereka akan ditempatkan di pusat pemindahan sehingga banjir surut,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ujarnya, kesemua mangsa dipantau kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Tambahnya, sebelum ini, dua pusat pemindahan di Balai Raya Selandar dan SK Selandar di sini ditutup apabila lima keluarga yang ditempatkan di situ dan dua keluarga di Balai Raya Selandar telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 9 pagi semalam.
Katanya lagi, Bilik Gerakan Banjir Negeri di Kota Cemerlang sudah mula beroperasi selama 24 jam bagi memantau kejadian banjir di seluruh negeri.
“Disebabkan cuaca yang tidak menentu apatah lagi pada musim tengkujuh ini, semua agensi penyelamat sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi tugas-tugas menyelamat,” katanya.
Jafri memberitahu, pada masa yang sama, segala persiapan seperti bot, bekalan makanan dan segala keperluan berkaitan telah disediakan dan meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya bersiap sedia jika diarah berpindah.
“Semua pihak termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung juga sudah diarah memaklumkan segera kepada Bilik Gerakan Banjir Negeri jika berlaku banjir di kawasan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment