Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Baju logo haram dirampas


Zainalabidin Othman
Zainalabidin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada warga Indonesia yang ditahan Jabatan Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
KUANTAN - Sehelai baju berjenama terkenal yang diharamkan di negara ini kerana berlogo daun ganja antara rampasan yang dilakukan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam sekatan jalan sempena Ops Bersepadu Agensi Penguatkuasa Negeri Pahang hari kedua di Kilometer 29 Jalan Temerloh-Bahau dekat Bera, kelmarin.
Baju yang ditemui dalam sebuah kereta yang ditahan untuk pemeriksaan itu dirampas kerana menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Dalam sekatan sama, Jabatan Imigresen memeriksa 50 individu dan menahan tujuh warga Indonesia termasuk dua wanita hasil pemeriksaan ke atas sebuah bas dipercayai dalam perjalanan dari Temerloh ke Jempol kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, operasi yang dijalankan 17 pegawai dan 41 anggota dari pelbagai agensi penguat kuasa itu berjaya mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya.
Menurutnya, dalam operasi selama enam jam bermula 9 pagi hingga 2 petang itu, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 400 kenderaan dan mengeluarkan 49 saman atas pelbagai kesalahan kepada pemandu serta penunggang motosikal.
“Dalam pemeriksaan itu, 70 motosikal diperiksa untuk mengenal pasti status kenderaan terbabit sama ada ia sah milik atau kenderaan curi.
“Kita juga keluarkan 19 saman kepada pemandu kenderaan perdagangan kerana mengeluarkan asap berlebihan,” katanya, di sini, semalam.
Beliau berkata, berdasarkan rekod JPJ, agensi itu memeriksa 200 kenderaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 21 saman atas pelbagai kesalahan, 30 Notis 61(1) cermin gelap, 5 PG 1 Teknikal dikeluarkan, manakala sebuah lori dikenakan tindakan mengikut  Notis 93(1) kerana membawa lebih muatan.
“Dalam operasi sama, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)  menjalankan saringan ujian air kencing ke atas 53 individu dan hasilnya seorang lelaki ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine.
“Manakala di bawah tindakan Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 15 saman dikeluarkan kepada kenderaan yang didapati mengeluarkan asap berlebihan,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi kali ini tiada sebarang tindakan dan tangkapan bagi kesalahan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

No comments:

Post a Comment