Search This Blog

Saturday, November 3, 2012

‘Arwah tetap mahu pulang beraya bersama kakak’

PADANG BESAR: “Arwah tetap nak balik menyambut Aidiladha lalu walaupun hanya cuti sehari selepas tahu kakak-kakaknya juga pulang,” kata Zaiton Mat Desa, 31, kakak kepada Konstabel Mohd Nor Adrizan Mat Desa, 22, yang maut bersama rakannya dalam kemalangan di Jalan Lahat, Simpang Pulai, Perak, kelmarin.
Zaiton berkata, arwah adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan begitu rapat dengan keluarga menyebabkannya tetap mahu pulang ke kampung.

“Arwah mengambil keputusan pulang meraikan Aidiladha bersama kakak-kakaknya walaupun hanya bercuti sehari.

“Saya nampak arwah termenung seperti memikirkan sesuatu. Sepanjang kepulangannya kali ini, dia banyak menghabiskan masa di rumah berbanding sebelum ini sering keluar berjumpa rakan sekampung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felcra Lubuk Sireh, Jalan Kaki Bukit, di sini, semalam.

Menurutnya, adiknya pernah mendapat tawaran menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), namun menolak kerana minat mendalam dunia kepolisan.

“Adik saya memang minat menjadi polis dengan mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi setahun lalu dan menolak menyertai TUDM.


“Kehilangan arwah begitu dirasai kami sekeluarga kerana dia satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarga,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa bersama rakannya, Konstabel Mohd Zaihasrul Reza Mohd Zaidi, 22, maut di tempat kejadian selepas merempuh lori berhampiran Jalan Lahat, Simpang Pulai, Perak.

No comments:

Post a Comment