SEREMBAN - Hasrat seorang anggota polis trafik dari Singapura untuk menyertai Konvoi Kembara 1Malaysia Bike Week (1MBW) 2012 di Putrajaya berakhir dengan tragedi apabila beliau maut dalam kemalangan di Km277 Lebuh Raya Utara Selatan arah ke utara dekat sini malam tadi.
  
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu, Syed Faizal Syed Abdullah, 37, yang menunggang motosikal Suzuki V Strom dikatakan dirempuh sebuah Perodua Myvi dari arah belakang.
  
Jurucakap polis berkata akibat rempuhan itu, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan merempuh penghadang jalan hingga mengakibatkannya tercampak.
  
"Mangsa bersama beberapa lagi rakannya yang menunggang motosikal berkuasa tinggi sedang dalam perjalanan ke Putrajaya untuk menyertai konvoi tersebut," katanya.
  
Mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan serius sementara pemandu Myvi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
  
Ketua Tafik Negeri ASP Abdul Halil Hamzah mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat. - Bernama