Search This Blog

Monday, November 5, 2012

Aksi liar pinjam motosikal tunang




         
KUANTAN: Seorang bakal pengantin yang meminjam motosikal tunangnya dipercayai untuk beraksi liar di jalan raya, dikesan antara 263 pesalah trafik ditahan sebelum motosikal mereka disita polis, dalam operasi Unit Khas Ketua Trafik Pasukan, Bukit Aman, di sini, awal pagi semalam.

Bakal pengantin berusia 28 tahun itu ditahan selepas gagal memboloskan diri apabila dikepung sepasukan anggota polis, sebelum dia yang dipercayai menunggang dalam keadaan berbahaya menyerah diri, di Jalan Pintasan Pelabuhan Kuantan, Permatang Badak, dekat sini, kira-kira jam 4 pagi.


Operasi diketuai Asisten Superintendan Khuzir Abd Majit daripada Cawangan Trafik Bukit Aman, turut mendapat kerjasama Jabatan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) , Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang.

Khuzir berkata, sebelum operasi, polis terlebih dulu melakukan pemantauan dan menutup setiap laluan menggunakan kereta peronda polis (MPV) dari beberapa negeri yang turut menyertai bagi mengelak pesalah trafik memboloskan diri.


Menurutnya, hasil taktik itu, semua pesalah trafik terbabit terkepung dan gagal memboloskan diri mengakibatkan beberapa daripada mereka nekad lari meninggalkan motosikal masing-masing. “Lebih mengejutkan lagi dan kali pertama melihat beberapa pesalah trafik yang bertubuh gempal nekad melarikan diri selepas terjatuh dari motosikal ditunggang selain seorang pelajar luka selepas motosikal diboncengnya bertembung motosikal lain,” katanya.


Dalam operasi yang dijalankan seawal jam 1.30 hingga 6 pagi itu, sembilan kereta yang diubah suai enjin dan spesifikasi bersama 263 motosikal diperiksa sebelum polis mengeluarkan 220 saman atas pelbagai kesalahan, di sini, semalam.

Khuzir berkata, pada masa sama, 117 motosikal disita oleh polis dan JPJ kerana melakukan pelbagai kesalahan, manakala 71 motosikal pula diberi notis arahan untuk pemeriksaan semula.


Menurutnya, selain itu, 19 penunggang yang lari meninggalkan motosikal masing-masing akan disaman ketika hendak menuntut kenderaan itu.

Katanya, semua samseng jalanan terbabit termasuk pembonceng yang ditahan diarahkan menjalani ujian air kencing dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik sebelum menahan tujuh lelaki kerana disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

No comments:

Post a Comment