aksesori - pecah
Keadaan kereta berselerak selepas tiga lelaki mengambil aksesori seperti radio dan pemain cakera.
KAJANG - Sebuah kedai kereta terpakai yang baru dua bulan beroperasi rugi kira-kira RM30,000, setelah premis itu dipecah masuk dan pelbagai aksesori tiga kereta mewah turut dicuri dalam kejadian di Lot 39, Batu 12, Bukit Dukong,

Jalan Cheras, semalam. Kejadian hanya disedari pemilik kedai, Chong Yew Hor, 29, kira-kira jam 7 pagi apabila dia dan pekerjanya memulakan perniagaan semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam kedai menunjukkan cermin tiga dari 40 kereta terpakai pelbagai jenama yang berada di situ dipecahkan oleh penjenayah.

"Tiga kereta terbabit adalah Toyota Alphard, Subaru Impreza dan Mitsubishi Lancer.

"Semua aksesori kereta berkenaan antaranya radio, televisyen, pemain cakera padat digital termasuk cermin sisi bernilai kira-kira RM30,000 dilarikan penjenayah," katanya.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku hampir 30 minit bermula jam 4.16 pagi dan terdapat tiga lelaki memakai topi keledar yang disyaki terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

"Kita dah periksa CCTV premis, namun ia tidak banyak membantu kerana rakamannya kurang jelas dan sukar untuk mengecam identiti penjenayah terlibat.

"Bagaimanapun petunjuk awal yang kita peroleh terdapat empat individu memakai topi keledar berada dalam kedai dan kita percaya mereka menggunakan topi keledar sebagai alat untuk memecahkan cermin kereta," katanya.

Menurutnya, siasatan awal tidak menemui sebarang senjata atau peralatan lain yang mungkin digunakan dalam kejadian.

Katanya, tiada pengawal keselamatan ditempatkan untuk menjaga premis itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.