Search This Blog

Monday, November 5, 2012

‘Air naik begitu cepat’




         
DENGKIL: “Air naik dengan cepat sehingga saya dan ahli keluarga tidak sempat berbuat apa-apa, malah kelengkapan rumah dan motosikal tenggelam,” kata Salina Saharudin, 25, seorang daripada mangsa banjir dari Kampung Revolusi Hijau yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Dengkil di sini, semalam.

Menurutnya, dia menyedari rumahnya dimasuki air sebaik terjaga dari tidur pada jam 5 pagi semalam.


“Tersedar daripada tidur saya dapati air sudah memasuki rumah dan dalam tempoh singkat air mencecah paras pinggang. Segala perkakas termasuk peti ais tidak dapat diselamatkan, sehinggalah jam 9 pagi anggota bomba datang ke rumah meminta kami berpindah ke dewan,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan mangsa banjir berkenaan.

Salina yang masih berpantang selepas melahirkan anak kedua berkata, suaminya, Muhammad Amin Osman, 23, tidak mengikutnya berpindah ke pusat penempatan itu kerana mahu menjaga rumah dan keselamatan harta benda.


“Cuma saya bersama dua anak, Muhamad Aqid berusia dua tahun dan Muhammad Adil Putra yang baru genap sebulan berpindah ke pusat penempatan ini, manakala suami terpaksa menunggu di rumah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. Difahamkan, kejadian banjir itu berlaku berikutan limpahan air dari Sungai Langat, ditambah masalah sistem perparitan dan saliran yang tersumbat serta tidak diselenggara dengan baik, selain kesan aktiviti perlombongan pasir haram sebelum ini. Selain Kampung Revolusi Hijau, kawasan lain terjejas teruk ialah Kampung Semarang, Kampung Cemarai, Kampung Kerinsing, Taman Amentis, Taman Emas, Taman Kristal, Taman Permata dan Taman Baiduri.

No comments:

Post a Comment