Search This Blog

Saturday, November 3, 2012

77 PATI ditahan di Jalan Klang Lama



KUALA LUMPUR 3 Nov. - Seramai 77 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi di kawasan perumahan di Jalan Klang Lama, dekat sini hari ini.
Penolong Penguat Kuasa Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, operasi menggempur PATI itu dijalankan di kawasan yang menjadi sarang dan tumpuan warga asing.
“Daripada jumlah yang ditahan itu, warga Indonesia merupakan paling ramai ditahan iaitu seramai 60 orang diikuti India (3) ,Bangladesh (2) dan selebihnya warganegara Myanmar berusia 20 hingga 40 tahun.
“Seramai 232 PATI telah menjalani pemeriksaan dalam operasi bersepadu yang disertai 92 anggota kerjasama julung kalinya diadakan Imigresen bersama Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Kementerian Dalam Negeri," katanya selepas operasi berkenaan hari ini.
Menurut James Musa, kesemua PATI yang ditahan itu akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Jalan Duta bagi tindakan lanjut.
“Ketika serbuan, kebanyakan PATI sedang tidur namun sebaik sahaja menyedari operasi dijalankan sebahagian daripada mereka cuba melarikan diri dengan berlari di atas bumbung dan bersembunyi.
“Asalnya perumahan di sini adalah kawasan rakyat tempatan namun ramai yang telah menyewakannya kepada PATI sehingga dilihat bagai sarang warga asing," katanya lagi.
Tambah beliau, operasi tersebut juga adalah tindakan lanjut selepas Operasi Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran (6P) yang dilakukan kerajaan.
“Kita mahu membanteras PATI yang ada di negara ini dan tidak akan bertolak ansur selepas pengampunan dalam program 6P sebelum ini," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121103/je_08/77-PATI-ditahan-di-Jalan-Klang-Lama#ixzz2B7rtVDRX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment