Search This Blog

Monday, November 5, 2012

6 cedera bas rempuh lori



Kampar: Enam penumpang bas ekspres cedera selepas kenderaan itu merempuh sebuah lori di Kilometer 305 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, awal pagi semalam.

Kejadian jam 5.30 pagi itu kemalangan ketiga di kawasan berkenaan dalam tempoh empat hari dan selang sehari selepas pacuan empat roda dipandu seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian remuk teruk merempuh treler di kawasan berbukit berhampiran tempat sama.
Bas bawa 15 penumpang

Kemalangan semalam membabitkan bas ekspres membawa 15 penumpang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Ipoh yang gagal mengelak sebuah treler membawa muatan tanah ketika mendaki bukit lalu merempuh belakang lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata pemandu lori berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala semua penumpang yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

“Siasatan awal mendapati laluan berkenaan gelap kerana tiada lampu jalan selain jalan yang menaiki bukit,” katanya, di sini semalam.

Khamis lalu, sebuah bas ekspres merempuh belakang lori tangki penuh muatan susu getah sebelum menyeret kenderaan itu sejauh 200 meter di Kilometer 307, berhampiran laluan sama.
Kejadian jam 11 malam itu menyebabkan pemandu kedua bas ekspres cedera di kaki dan terpaksa dikeluarkan melalui pintu kecemasan belakang.

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin pula, jurutera JPS Kerian, Hidzrami Shamsul Anwar, 48, menerima 11 jahitan selepas Toyota Fortuner dipandunya merempuh treler.

No comments:

Post a Comment