Search This Blog

Friday, November 23, 2012

5 ditawan bagi paksa PM letak jawatan

TOKYO: Seorang lelaki bersenjatakan pisau menjadikan lima orang sebagai tebusan di sebuah bank di sini, semalam.

Media melaporkan, lelaki itu menuntut supaya Kabinet Perdana Menteri, Yoshihiko Noda, meletak jawatan.
Lelaki itu mula menawan cawangan Bank Tokoyawa Shinkin Bank di Zoshi, tengah wilayah Aichi, kira-kira jam 2.20 petang waktu tempatan, kata polis. Tiada butiran lanjut diberikan.

Sambil menghunuskan pisau memburu, dia menjadikan empat pekerja dan seorang pelanggan wanita sebagai tahanan dan menuntut anggota Kabinet Noda meletak jawatan.


Menurut media tempatan, lelaki itu juga meminta untuk bercakap dengan wartawan.


Lelaki itu dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an atau 40-an tetapi media kemudian melaporkan usianya mungkin dalam lingkungan 50-an.

Stesen televisyen NHK berkata, selepas empat jam dijadikan tawanan, tiada di antara mereka dilaporkan cedera. Lelaki itu juga tidak menuntut wang tebusan.

Asahi Shimbun melaporkan, lelaki itu meminta bekalan makanan dan minuman untuk sepuluh hari.

Media lain turut melaporkan, lelaki itu meminta rokok dan pemetik api.

Rakaman televisyen menunjukkan seorang pegawai polis membawa pembesar suara dan beg plastik ke bahagian tepi bangunan. - AFP

No comments:

Post a Comment