Search This Blog

Friday, November 9, 2012

2 remaja didakwa lupus mayat

KANGAR 7 Nov. - Dua remaja lelaki masing-masing berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melupuskan keterangan kesalahan iaitu mayat seorang bayi yang baru dilahirkan pada hujung bulan lalu.
Khairul Amri Che Ani dari Kampung Padang Benta, Simpang Empat di sini dan Muhamad Affendi Azmi dari Kampung Bukit Papan, Kuala Perlis membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Zuhair Rosli.
Kedua-dua tertuduh itu dibenarkan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 6 Disember ini.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka berdua didakwa dengan niat bersama melupuskan mayat bayi tersebut dengan tujuan mengelakkan satu hukuman undang-undang dibuat terhadap ibu bayi berkenaan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di atas titi simen Kampung Bohor Rotan Pahit, Simpang Empat antara pukul 8.30 malam dan 9.30 malam, 24 Oktober lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan.
Memetik laporan akhbar pada hujung bulan lalu, dalam kejadian itu, polis menahan dua remaja kerana disyaki membuang seorang bayi perempuan yang cukup sihat yang baru dilahirkan oleh rakan sebaya mereka ke dalam sungai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121108/wu_03/2-remaja-didakwa-lupus-mayat#ixzz2BjkT3EXn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment