Search This Blog

Monday, November 26, 2012

120 pekerja kilang rentung



SEORANG anggota tentera meninjau kerosakan deretan mesin-mesin jahit selepas satu kebakaran memusnahkan sebuah kilang di kawasan perindustrian Ashulia, Dhaka, Bangladesh, sementara (gambar kecil), seorang wanita ditenteramkan selepas ahli keluarganya maut dalam kebakaran tersebut. - AFP/REUTERS
DHAKA 25 Nov. - Sekurang-kurangnya 120 orang pekerja rentung dalam kebakaran besar di sebuah kilang pakaian di kawasan perindustrian Ashulia di sini, lewat malam semalam.
Ketua Pengarah Bomba, Abu Nayeem Mohammad Shahidullah berkata, kebakaran yang memusnahkan kilang pakaian setinggi sembilan tingkat itu, dipercayai bermula di tingkat bawah yang menempatkan bahagian gudang.
Punca kebakaran masih disiasat dan jumlah mangsa yang masih hilang belum dapat dipastikan, katanya.
"Api merebak dengan cepat menyebabkan beratus-ratus pekerja terperangkap dalam kebakaran itu.
"Kami menemukan 120 mayat setakat pagi ini, 69 daripada mereka ditemui di tingkat dua dan angka kematian dijangka meningkat," katanya.
Ketua Pengarah Operasi Bomba, Mejar Mohammad Mahbub berkata, ramai mangsa terperangkap kerana kilang berkenaan tidak mempunyai pintu kecemasan.
Menurutnya, ramai pekerja yang berlindung di atas bumbung bangunan berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.
"Kilang tersebut mempunyai tiga laluan tangga dan kesemuanya musnah dalam kebakaran itu, menyebabkan pekerja yang terperangkap tidak dapat keluar dari bangunan berkenaan." katanya.
Tentera dan polis turut dikerah untuk mengawal orang ramai termasuk ahli keluarga mangsa yang berkumpul di lokasi kejadian.
- AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121126/lu_01/120-pekerja-kilang-rentung#ixzz2DKfsQZWL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment