Search This Blog

Monday, November 26, 2012

109 pekerja rentung

ASHULIA: Seramai 109 orang terbunuh apabila sebuah kilang pakaian dijilat api, kebakaran industri terburuk dalam sejarah Bangladesh, semalam.
Ramai pekerja terpaksa terjun menerusi tingkap untuk menyelamatkan diri daripada asap dan api.

Anggota bomba mengambil masa beberapa jam untuk mengawal kebakaran itu yang bermula di tingkat bawah bangunan enam tingkat kilang Tazreen Fashion, kira-kira 30 kilometer ke utara Dhaka.

Mangsa yang terselamat menceritakan bagaimana kakitangan, kebanyakannya wanita, terdesak untuk menyelamatkan diri daripada kilang berkenaan yang mengeluarkan pakaian berjenama antarabangsa, termasuk rangkaian Belanda, C&A dan Li & Pung, syarikat yang berpusat di Hong Kong.

“Saya terhidu asap dan lari ke bawah. Saya dapati kawasan itu sudah dipenuhi dengan asap tebal.

“Bersama seorang rakan, saya memecahkan tingkap di tingkat dua dan terjun ke bumbung bangunan sebelah.


“Tangan saya patah, tetapi saya selamat,” kata Rabiul Islam.

Menurutnya, ramai rakannya mati dalam kejadian itu.

Bangladesh menjadi pusat membuat pakaian kerana upah buruhnya yang murah. Sejumlah besar jenama popular menggunakan kilang di negara itu untuk mengeluarkan produk bagi dieksport ke pasaran Barat.

Namun, standard keselamatan di kilang negara itu amat rendah.

Pesuruhjaya Daerah, Yusuf Harun memberitahu wartawan, seramai 109 orang terbunuh, termasuk beberapa pekerja yang mati selepas terjun dari tingkat atas.

Kira-kira 100 orang turut cedera.

“Kami meletakkan mayat di kawasan lapang sebuah sekolah berhampiran. Sebahagiannya sudahpun diambil oleh anggota keluarga,” kata Yusuf.

Pengarah Bomba, Mejar Mahbub berkata, kebanyakan mangsa mati lemas selepas terperangkap dalam kebakaran yang bermula di tingkat bawah. “Kilang itu mempunyai tiga pintu keluar tetapi kerana kebakaran berlaku di tingkat bawah, pekerja tidak boleh turun,” katanya.

Pemilik kilang, Delwar Hossain memberitahu wartawan menerusi telefon, punca kebakaran masih belum dapat dipastikan tetapi menolak dakwaan kilang itu tidak selamat.

“Ia kerugian besar bagi kakitangan dan kilang saya. Ini kali pertama kebakaran berlaku di satu daripada tujuh kilang saya,” katanya.

Tuba Group, syarikat induk Tazreen Fashion, dalam laman webnya berkata, kilang itu dibuka pada 2009 dan mempunyai 1,630 pekerja. - AFP

No comments:

Post a Comment