Search This Blog

Monday, November 5, 2012

10 desa banjir



         
JOHOR BAHRU: Cuaca buruk sepanjang hari menyebabkan jumlah mangsa banjir di Batu Pahat meningkat daripada 210 kepada 754 mangsa dan ditempatkan di 10 pusat perlindungan sementara selepas rumah mereka dinaiki air, semalam.

Hujan lebat sejak tiga hari lalu menyebabkan 10 kampung dinaiki air membabitkan Kampung Parit Gantung; Kampung Parit Lapis Laman; Kampung Sentang Batu; Kampung Parit Pulai; Kampung Parit Yusof; Kampung Parit Betong; Kampung Othman; Kampung Parit Abdul Rahman; Kampung Sengkuang dan Kampung Linau Besar.


Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri Johor berkata, setakat jam 7 malam tadi, seramai 754 mangsa membabitkan 204 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

“Tujuh pusat pemindahan sementara terpaksa dibuka berikutan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat berbanding 210 yang ditempatkan di tiga pusat perlindungan bermula kelmarin.


“Seramai 90 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan Balairaya Parit Lapis Laman; 28 mangsa (lapan keluarga) di Balairaya Parit Yusof, Parit Jalil; tujuh mangsa (dua keluarga) di Balairaya Linau Kecil; serta 240 (71 keluarga) di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sri Tiga Serangkai, Parit Sulong.


“Selain itu, 34 mangsa membabitkan enam keluarga ditempatkan di Balairaya Kampung Parit Betong, Parit Sulong; 67 mangsa (16 keluarga) di Balairaya Parit Othman, Parit Sulong; 32 mangsa (sembilan keluarga) di Balai Masjid Kampung Sengkuang, Sri Gading.

“Seramai 120 mangsa (35 keluarga) di Dewan Orang Ramai Parit Sentang Batu, Parit Sulong; 111 mangsa (32 keluarga) di SK Tiga Serangkai, Parit Sulong dan 25 mangsa (lima keluarga) di SK Sri Chomel, Parit Sulong,” katanya.


Menurutnya, tiada kematian dilaporkan dan tiada jalan ditutup, namun orang ramai dinasihatkan sentiasa peka serta mematuhi peringatan dan amaran banjir daripada pihak berkuasa dari masa ke semasa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Penolong Setiausaha (Tentera) Majlis Keselamatan Negara Johor, Mejar Ronzi Mohd Khairan, berkata pihaknya menjangkakan banjir akan bertambah buruk berikutan hujan lebat masih berterusan sehingga petang semalam.


“Cuaca tidak menentu menyebabkan jumlah mangsa semakin bertambah dan kami bersedia membuka lebih banyak pusat pemindahan sekiranya keadaan memerlukan. “Sehingga kini, tiada laluan terputus dan proses pemindahan dibantu pengangkutan berat daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela),” katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, Khatijah Abdullah, berkata pihaknya sudah mengagihkan bantuan asas berbentuk makanan, minuman, bantal dan selimut kepada mangsa banjir.

No comments:

Post a Comment