BUTTERWORTH - Seorang warga emas maut selepas diseret sebuah kenderaan berat sejauh dua kilometer dalam satu kemalangan berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) di sini pagi ini.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata mangsa Shahidin @ Moktar Ahmad, 70, berasal dari Permatang Bertam, Kepala Batas meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan.
  
"Polis mendapat maklumat daripada orang awam pada pukul 6.50 pagi ini yang memaklumkan menemui mayat seorang lelaki dalam kecederaan parah di bahagian badannya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
  
Katanya siasatan awal mendapati warga emas itu menunggang motosikal sebelum dilanggar sebuah kenderaan berat dan diseret sejauh dua kilometer.
  
"Berdasarkan siasatan awal, kita menemui sebuah motosikal yang dipercayai milik mangsa berhampiran sebuah restoran mamak terletak kira-kira dua kilometer dari tempat mayatnya ditemui.

 "Terdapat beberapa kesan gelekan di badan mangsa selain perutnya yang pecah akibat diserat kenderaan berat berkenaan," katanya.
  
Mazlan berkata mayat mangsa dihantar ke Hopital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
  
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis terdekat. - Bernama