Loloskan diri daripada tiga penyamun bersenjata
Zakaria melakonkan semula tindakan nekadnya terjun dari beranda rumah untuk meminta pertolongan jiran.
MARAN - Seorang warga emas nekad terjun dari beranda dan berlari menyeberangi jalan meminta pertolongan jiran selepas berjaya meloloskan diri dari tiga lelaki bersenjatakan pisau yang cuba pecah masuk rumahnya di Kampung Awah, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi itu, Zakaria Umar, 68, berdepan detik cemas apabila salah seorang lelaki bertopeng tersebut mengacu pisau dan diletakkan di leher mangsa sebelum cuba menyamun.

Zakaria berkata, dia yang sedang tidur sendirian di bilik bersebelahan ruang tamu tersedar apabila dikejutkan dengan bunyi hentakan kuat pada pintu bilik anaknya di bahagian dapur rumah.

Menurutnya, sebaik membuka pintu bilik bagi mendapatkan kepastian bunyi hentakan itu, dia tergamam apabila seorang lelaki bersaiz badan kecil dan bertopeng mengacukan sebilah pisau ke arahnya.

“Pak cik tidak mampu berkata apa-apa kerana kejadian berlaku dengan pantas, lebih-lebih lagi baru sahaja tersedar dari tidur.

“Lelaki tersebut suruh pak cik diam ketika meletakkan pisau di leher sementara dua rakannya cuba memecah pintu bilik anak saya.

“Beberapa tendangan kuat dan jeritan anak memanggil polis menyebabkan lelaki itu berpaling muka dan beralih sedikit untuk melihat apa yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Zakaria berkata, kesempatan itu dimanfaatkan dengan bergegas ke pintu hadapan rumah sebelum melompat dari beranda untuk meminta pertolongan jiran.

Anaknya, Shahrizal, 35, berkata, kehadiran ketiga-tiga lelaki berkenaan yang masuk ke dalam rumah itu disedari sebaik terdengar bunyi tendangan kuat pada pintu dapur.

Menurutnya, dia yang masih belum tidur cuba keluar dari bilik untuk mendapatkan kepastian namun terkejut apabila melihat ketiga lelaki tersebut sedang meluru ke arahnya.

“Masa itu pintu bilik saya terbuka, dengan jelas saya nampak mereka dengan dua ke arah bilik saya sementara seorang lagi naik ke atas bahagian ruang tamu.

“Saya segera cuba tutup pintu dan ketika menahannya, mereka menendang kuat beberapa kali sehingga pintu pecah.

“Saya menjerit dan meminta isteri menelefon polis untuk menakutkan mereka,” katanya.

Shahrizal yang juga pesara kerajaan berkata, tindakan ayahnya yang berkesempatan meloloskan diri menyebabkan ketiga lelaki berkenaan melarikan diri keluar melalui pintu dapur.

Menurutnya, tiga lelaki itu ‘hilang’ dengan menaiki dua motosikal yang diletakkan di rumah bersebelahan yang tidak berpenghuni.

“Kejadian berlaku dengan pantas namun saya bersyukur kerana ayah, isteri dan dua anak tidak diapa-apakan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Sulaiman A Hamid mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.