SEREMBAN - Seorang tukang cat dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku menyebabkan kematian seorang lelaki warga Nepal di Rantau, tahun lepas.

Hakim Datin Nursinah Azmi memerintahkan R.Jayaganesan, 26, menjalani hukuman  itu mulai tarikh dia ditangkap, iaitu pada hari kejadian.

Jayaganesan didakwa menyebabkan kematian Prem Bahadur Tamang, 32, dalam satu kejadian samun di tepi Jalan Ulu Kanchong, Kilometer 8, Jalan Tampin, Rantau di sini pada kira-kira 8.40 malam, 13 Okt tahun lepas mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Rakan Jayaganesan, P.Balan, 36, pula dihukum penjara enam bulan selepas mengaku menyamun mangsa dan mengambil wang tunai RM4,000 pada masa dan lokasi yang sama Balan, seorang pemandu lori, didakwa mengikut Seksen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes yang dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hassan Ramli, kedua-dua tertuduh merancang untuk menyamun mangsa iaitu rakan sekerja mereka, yang bertanggungjawab menyimpan wang kutipan jualan produk hasil laut syarikatnya.

Pada hari kejadian, mangsa menaiki lori yang dipandu Balan menuju satu destinasi manakala Jayaganesan, yang menunggang motosikal, mengekori kenderaan tersebut sehingga ia berhenti di lokasi kejadian kerana mangsa  ingin membuang air.

Jayaganesan kemudian memukul kepala mangsa dengan sebatang kayu sehingga rebah sebelum mengambil wang tunai dari poket seluar mangsa.   

Balan kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Lukut di Port  Dickson sebelum ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia keesokan harinya akibat cedera parah di bahagian kepala.

Jayaganesan diwakili peguam G. Subramaniam Nair manakala Balan oleh Sharif Mohamed.  - Bernama