Tak sempat makan tengah hari
Keadaan cermin kereta mangsa yang dipecahkan dalam kejadian samun dekat pekan Bahau.
JEMPOL-  Sepasang suami isteri tidak sempat menikmati makan tengah hari di sebuah restoran dekat pekan Bahau di sini setelah duit dan pelbagai barang berharga kira-kira RM71,700 dilarikan penyamun kira-kira pada jam 2 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, pasangan berumur 30-an itu dipercayai baru sahaja mengeluarkan wang tunai berjumlah RM30,000 di sebuah bank kira-kira jam 12 tengah hari.

“Sebelum itu, isterinya turut membawa sebuah beg berisi barang kemas anggaran nilai RM40,000 dan wang tunai 5 juta Rupiah (RM1,700). Sebahagian barang kemas itu dibeli untuk keluarganya yang berada di Indonesia.

“Suaminya yang juga merupakan sub kontraktor mengeluarkan wang pada hari kejadian bagi membayar gaji pekerjanya.

“Mangsa mendakwa, dia tidak menyedari dirinya diekori suspek, selain tidak pernah bergaduh dengan mana-mana individu,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Hamzah berkata, pasangan ini kemudiannya pergi ke restoran berhampiran untuk makan tengah hari.

“Beg berisi barang berharga dan wang tunai itu bagaimanapun ditinggalkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta jenis Nissan Frontier.

“Namun, belum sempat pasangan ini ‘panas punggung’, tiba-tiba terdengar jeritan dari arah tempat letak kereta dan mereka bergegas ke tempat kejadian sebelum terkejut melihat beg berisi barang kemas dan wang tunainya lesap,” katanya.

“Saksi memberitahu, ternampak sebuah motosikal menghampiri kereta mangsa yang dinaiki dua lelaki memakai topi keledar sebelum bertindak memecahkan cermin tingkap kereta.

“Kes disiasat di bawah seksyen 379 kanun keseksaan. Susulan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu pejabat polis daerah (IPD), Jempol di talian 06-4582222,” katanya.