Search This Blog

Friday, October 19, 2012

Struktur binaan tak kukuh




         
SHAH ALAM: Struktur binaan yang tidak kukuh dikenal pasti antara punca utama sebahagian anjung sebuah banglo yang sedang diubah suai di Jalan Jed Satu 7/5A, Seksyen 7, di sini, runtuh petang semalam.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan membabitkan semua aspek untuk mengetahui punca sebenar kejadian.


Menurutnya, walaupun menghadapi kesukaran untuk mengangkat struktur bumbung yang runtuh selain hujan renyai-renyai, kerja-kerja mencari dan menyelamat tetap diteruskan. Katanya, tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya membawa keluar tiga mangsa pertama yang mengalami kecederaan parah kira-kira 15 minit selepas tiba di tempat kejadian.

“Sehingga jam 8 malam (tadi), pasukan penyelamat berjaya membawa keluar empat mangsa yang cedera serta seorang pekerja yang mati di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, enam pekerja lelaki warga Indonesia yang sedang bekerja di tingkat atas rumah berkenaan terperangkap dalam runtuhan mengakibatkan seorang daripada mereka maut.


Difahamkan, ketika kejadian terdapat kira-kira 18 pekerja warga Indonesia dan Bangladesh sedang bekerja di situ. Othman berkata, bomba terpaksa menggunakan kaedah menggali dari sebelah kiri dan kanan bangunan yang runtuh itu bagi mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap.

“Kami dapat berkomunikasi dengan mangsa, namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kedudukan mereka,” katanya.


Othman berkata, 50 anggota bomba bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan beberapa balai bomba berhampiran dikejarkan ke tempat kejadian.

Turut membantu dalam operasi terbabit ialah Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 4.29 petang.


Pemilik rumah berkenaan, seorang ahli perniagaan, tiba di tempat kejadian kira-kira jam 8.45 malam tadi, namun enggan ditemu bual media.

No comments:

Post a Comment