Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Sindiket minyak subsidi tumpas

Sindiket minyak subsidi tumpas - Pahang - Sinar Harian:

Sindiket minyak subsidi tumpas
Md Nawawi menunjukkan stor yang digunakan untuk menyimpan minyak petrol yang ‘dikencing’ pemandu lori.
KUANTAN - Tanda tanya berhubung kehadiran lori minyak yang sarat dengan muatan diesel dan petrol keluar masuk ke sebuah bengkel haram di Kilometer 27, Jalan Kuantan- Kemaman dekat sini  terjawab selepas ‘port’ tersebut dikesan dijadikan  transit  mengumpul dan mengedar bahan api bersubsidi yang ‘dikencing’ pemandu lori secara haram.

Kegiatan sindiket yang berselindung di sebuah lokasi tersorok di belakang deretan bengkel itu berjaya dihidu pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang hasil risikan sejak sebulan lalu sebelum serbuan dilakukan semalam.

Hasil serbuan kira-kira jam 9.30 pagi ke atas ‘port’ tersebut, dua pemandu lori dari sebuah syarikat pengangkutan dan dua pekerja stor simpanan minyak haram berusia dalam lingkungan 40-an ditahan ketika sibuk menyedut minyak dari tangki dua buah lori ke tangki simpanan yang disediakan.

Pakai istilah pemandu 'kencing'

Ketua Seksyen Penguat kuasa PPDNKK Pahang, Md. Nawawi Ab.Rahman berkata, berikutan pembongkaran itu, sebanyak 64,000 liter bahan api bersubsidi membabitkan diesel dan petrol dianggarkan bernilai RM118,300 dirampas.

Menurutnya, turut disita dua buah lori tangki milik sebuah syarikat pengangkutan yang mendapat kontrak penghantaran minyak dari depoh di Kuantan ke beberapa stesen minyak sekitar Pahang dan Terengganu.

“Kita istilahkan kegiatan ini sebagai ‘kencing’ melibatkan pemandu lori apabila cuba mencuri bahan api yang sepatutnya dibawa ke stesen minyak untuk kepentingan peribadi dengan menyedut sebahagian kecil bahan bakar itu secara haram di pusat pengumpulan seperti di sini.

“Dalam kes ini, kedua-dua lori yang ditahan  sepatutnya menghantar bekalan diesel dan petrol ke sebuah stesen minyak di Triang dan stesen minyak milik Koperasi Felda Neram 1 bagaimana pun pemandunya mengambil kesempatan singgah ‘kencing’ sebahagian minyak yang dibawa di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan dekat sini, semalam.

Pemilik stesen minyak tak sedar

Md Nawawi berkata, modus operandi ahli sindiket ini agak licik memandangkan ketirisan bekalan minyak itu seolah-olah tidak disedari pemilik stesen minyak kerana prosedur penghantaran termasuk  tag khas yang dipasang pada hos keluar masuk pada tangki tidak terusik.

“Mereka ada cara tersendiri untuk menyedut keluar kira-kira 200 liter diesel atau petrol dari setiap petak isian pada tangki menggunakan pam khas yang mampu menyedut jumlah yang dikehendaki dalam masa hanya lima minit,” katanya.

Beliau berkata, selepas selesai minyak disedut, pemandu terlibat akan meneruskan perjalanan ke stesen minyak yang sepatutnya sebelum aktiviti itu diteruskan pemandu tidak bertanggung jawab yang lain.

“Setelah bekalan mencukupi, pengusaha pusat mengumpul minyak haram ini akan menghubungi pelanggan mereka untuk membawa bekalan minyak subsidi itu kepada pengusaha industri dengan harga yang lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, bagi setiap liter minyak diesel bersubsidi, sindiket memperoleh keuntungan kira-kira RM0.90 sekiranya dijual kepada pihak industri manakala bagi petrol pulangannya mencecah RM1.10.

“Selalunya, pemandu lori akan mencuri kira-kira 1,200 liter daripada 30,000 liter yang dibawa dan keuntungan mereka mencecah sehingga RM1,000,”katanya.

Kegiatan didalangi beberapa pihak

Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi beberapa pihak bagaimana pun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu  terlibat termasuk pemilik tapak bengkel haram itu.

Menurutnya, berikutan kejayaan itu, gejala ketirisan dan penyalahgunaan bahan api bersubsidi itu dapat dibanteras.

“Kes hari ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau tidak lebih tiga tahun penjara bagi individu dan denda sehingga RM250,000 bagi syarikat atau perbadanan jika disabitkan kesalahan.

Md Nawawi berkata, sejak Januari hingga semalam, pihaknya berjaya menyita 2 juta liter diesel bersubsidi  bernilai RM3.5 juta dan daripada jumlah itu, sebanyak RM2.06 juta subsidi yang ditanggung kerajaan berjaya diselamatkan manakala 19 individu diambil tindakan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment