Saksi nekad kejar treler
Orang ramai yang berkerumun di lokasi kejadian memerhatikan mayat mangsa yang sudah ditutup sebelum dihantar ke HTAA untuk bedah siasat. Gambar kecil: Mohd Samri.
KUANTAN- Seorang mekanik bertindak nekad memecut motosikalnya mengejar sebuah lori treler setelah pemandu kenderaan tersebut gagal berhenti sejurus bergesel dengan motosikal ditunggang seorang gadis hingga menyebabkan mangsa yang dipercayai anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala.

Cubaan, Mohd Samri Samion, 40, berhasil apabila lori tersebut berjaya dipintas sebelum pemandunya dimaklumkan berhubung kejadian yang berlaku.

Bagaimana pun sebaik sahaja dia dan pemandu lori tersebut kembali ke tempat kejadian, gadis yang terbaring berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala sudah kaku tidak bernyawa.

“Menyedari gadis tersebut sudah meninggal dunia, isteri saya mengambil sehelai kain batik  menutup mayatnya.

“Saya memeriksa dompet mangsa dan menjumpai kad pengenalan tertera namanya, Nur Yuhanis Sharifuddin, 18 beralamat di Felda Sungai Panching Selatan dekat sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian itu, semalam.

Mohd Samri berkata, dia turut menemui beberapa maklumat peribadi milik mangsa termasuk kad anggota JPAM dipercayai milik gadis tersebut.

Menceritakan detik kemalangan yang berlaku di hadapan bengkel membaiki motosikal miliknya di Kilometer 39 Jalan Kuantan- Kemaman kira-kira jam 11.30 pagi itu, Mohd Samri berkata, dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya dan terus berlari keluar kerana sudah menduga ada kemalangan berlaku.

“Ketika itu saya nampak seorang gadis terbaring kaku di atas jalan berhampiran sebuah motosikal dipercayai miliknya.

“Anak saya, Mohd Samsuri, 15 melihat kejadian itu memberitahu, mangsa dipercayai cuba mengelak lopak air lalu bergesel dengan bahagian belakang lori treler tersebut sehingga tercampak jatuh ke atas jalan,” katanya.

Dia berkata, ketika itu, dia dan isterinya sempat memeriksa  nadi mangsa namun sudah tiada denyutan lagi.

“Selepas dimaklumkan lori treler yang terlibat gagal berhenti, saya mengambil motosikal dan bertindak mengejar kenderaan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung nahas tersebut.

Menurutnya, lori treler yang sarat dengan muatan paip milik sebuah syarikat petroleum itu dipercayai dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.

“Mangsa dalam perjalanan dari arah sama cuba mengelak lopak air hingga terbabas ke kanan lalu bergesel dengan bahagian belakang lori terbabit.

“Akibat pergeseran itu, motosikal mangsa terjatuh manakala tubuhnya tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Zainalabidin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Pemandu lori terbabit ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung nahas maut ini,” katanya.

Menurutnya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.