SHAH ALAM - “Saya sedang kunci rumah sebelum tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat seolah-olah runtuhan,” kata seorang saksi, Mohd Salam Taurali, 22, yang ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, dia yang juga pekerja pembinaan rumah berhampiran lokasi kejadian itu kira-kira 10 meter, baru sahaja selesai bekerja.
Warga Bangladesh itu berkata, ketika sedang mengunci rumah yang sedang diubahsuai, dia terus menoleh apabila terdengar bunyi kuat kira-kira jam 4.20 petang itu.
“Selepas terdengar bunyi kuat itu, saya terus menoleh ke belakang dan mendapati bumbung konkrit banglo dua tingkat yang sedang dalam pengubahsuaian itu sudah runtuh.
“Runtuhan itu turut melorot hingga ke dinding pagar yang memagari kediaman itu,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian bergegas ke rumah tersebut untuk melihat dengan lebih dekat kejadian menakutkan itu.
Katanya, dia terdengar suara orang meminta tolong sambil mengerang kesakitan.
“Dua daripada pekerja yang terperangkap berjaya menyelamatkan diri, tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu mangsa lain yang tertimbus di bawah runtuhan itu," katanya.
Dalam perkembangan sama, seorang pekerja pembinaan warga tempatan dikenali sebagai Lim turut menceritakan detik-detik cemas itu.
Katanya,dia sedang bekerja ketika itu dan tiba-tiba ternampak bumbung konkrit tersebut runtuh.
“Saya nampak bumbung konkrit itu runtuh dan terus ke lokasi itu.
“Saya lihat seorang mangsa berjaya keluar dari runtuhan itu,” katanya.