Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Ribut aneh jejas 10 rumah

Ribut aneh jejas 10 rumah - Perak - Sinar Harian:

Ribut aneh jejas 10 rumah
Penduduk menunjukkan bumbung kediaman mereka yang tercabut akibat ribut berlaku di Taman Kerian, Parit Buntar.
PARIT BUNTAR - Kejadian ribut aneh yang melanda Taman Kerian, di sini menyebabkan 10 rumah rosak di bahagian bumbung dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.15 tengah hari, semalam.

Mangsa, T Puspa, 42, berkata, kejadian itu mengejutkannya kerana tiada sebarang tanda berlaku ribut memandangkan keadaan cuaca ketika itu dalam keadaan  baik.

Bagaimanapun, dia yang berseorangan di rumah ketika itu, terkejut apabila terdengar bunyi letupan kuat berkali-kali sehingga menyebabkannya berlari keluar kerana ketakutan.

“Setelah keluar, saya melihat kelibat ramai jiran yang turut berlari keluar dari kediaman masing-masing susulan bunyi letupan itu.

"Kami baru sedar rumah kami dilanda bencana alam apabila melihat beberapa keping bumbung bersepah di atas jalan akibat diterbangkan ribut,” katanya sewaktu ditemui media di sini semalam.

Bunyi letupan itu turut didengari pemandu lori, Sani Mansor, 56, yang menyangka ia terjadi disebabkan kucing berjalan atas bumbung.

“Bagaimanapun, saya terkejut melihat ramai jiran berlari keluar dari rumah dan apabila saya keluar untuk meninjau keadaan, saya menyedari hampir 70 peratus bumbung rumah terjejas,” katanya.

Seorang penduduk, S Devi, 36, menyatakan kejadian ribut yang berlaku selama lima minit itu menjejaskan hampir keseluruhan bumbung rumahnya.

Jelasnya, akibat bencana itu dia kerugian hampir RM1,000 dan  berharap kejadian malang menimpanya mendapat perhatian pihak berkenaan.

Sementara itu, seorang penduduk, Mokhtar Ghosali, 37, menyaksikan puting beliung yang terbentuk secara tiba-tiba dan ‘menyapu’ sebahagian kecil rumah di taman  itu dalam masa lima minit.

“Kejadian ribut aneh ini kerap berlaku di Taman Kerian walaupun keadaan cuaca baik dan Difahamkan, sebanyak tiga kes seperti itu dilaporkan di sini sepanjang tahun ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan punca kejadian ribut aneh berlaku di taman ini disebabkan faktor geografi perumahan yang menjadi laluan angin lintang,” katanya.

Kejadian malang itu mendapat perhatian Umno dan Pas bahagian Parit Buntar yang hadir meninjau keadaan mangsa ribut di Taman Kerian.

Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussin berkata, pihaknya akan meninjau kadar kerosakan yang ditanggung penduduk dan bersedia menyalurkan bantuan membaik pulih bumbung rosak mengikut keperluan.

Bagi Penyelaras Dun Titi Serong, Abu Bakar Md Ali, pihaknya menyerahkan sumbangan wang dan bantuan makanan kepada mangsa serta mempertimbangkan pemberian bantuan Tabung Khas Bencana Alam dari Pejabat Tanah dan Daerah Kerian.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment