Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Ribuan ikan mati dituba

Ribuan ikan mati dituba - Terengganu - Sinar Harian:

Ribuan ikan mati dituba
Sebahagian ikan yang mati telah dipungut untuk ditanam bagi mengelak bau busuk di Sungai Jertih.
BESUT – Orang ramai gempar apabila ribuan pelbagai spesies ikan termasuk kelah ditemui mati di dalam Sungai Jertih berhampiran Masjid  Hadhari Jertih, di sini kelmarin.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, kejadian itu disedari salah seorang kakitangannya ketika bertugas membersihkan kawasan Taman Rekreasi Sungai Jertih itu.

Menurutnya, kakitangannya menyedari kejadian itu kira-kira jam 9 pagi apabila melihat ribuan ikan mati terapung di atas permukaan air sungai.

“Punca ikan tersebut mati dipercayai akibat dituba oleh pihak tidak bertanggungjawab di bahagian hulu sungai kerana sifat tamat dan mahu tangkapan ikan dalam jumlah banyak serta mudah,” katanya.

Tengku Zaihan berkata lagi, akibat perbuatan tersebut menyebabkan pelbagai spesies ikan di situ seperti lampan, baung termasuk kelah dan kelisa serta ikan kecil lain mati.

Menurutnya, perbuatan menuba bukan sahaja menyebabkan pencemaran air sungai malah akan menyebabkan kepupusan ikan di sungai itu.

“Penuba hanya memungut ikan bersaiz besar sahaja dan membiarkan ikan yang kecil mati terapung di permukaan air,” katanya.

Kata beliau, Sungai Jertih adalah salah sebuah sungai di daerah ini yang diberi perhatian khusus untuk pemulihan daripada pencemaran air buangan termasuk mengalirkan air buangan melalui saluran paip khas ke kawasan pembetungan sebelum dirawat.

Menurutnya, usahanya pihaknya memulihkan sungai tersebut telah berjaya kerana terdapat ikan kelah yang boleh hidup di dalam sungai tersebut memandangkan ikan kelah hanya boleh hidup di dalam air sungai yang bersih atau kelas 1 sahaja.

“Saya akan maklumkan perbuatan menuba itu kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment